JAWABAN (J): Nak kata 'otak' pelajar bukan Melayu 'dicipta' lebih baik berbanding otak pelajar Melayu, saya tidak boleh terima. Bagi saya, ia lebih berkait rapat dengan cara hidup dan sikap kita. Contohnya, isu politik yang hangat diperkatakan sejak sepuluh bulan lalu (merujuk kes pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), siapa yang 'terlebih' galak berdemonstrasi kalau bukan pelajar Melayu. Di universiti pun sekarang... debat itu, debat ini... saya rasa bukan debat yang berlaku sekarang ni, hanya menjemput orang-orang berkenaan dan kemudiannya melabelkan mereka sebagai defensif.
Saya tidak bermaksud untuk menyebelahi mana-mana pihak, namun kita perlu be true to ourselves.
Kita tanya diri kita, adakah pelajar Melayu ini bersikap jujur kepada diri sendiri?
Kenapa mudah sangat hendak menyalahkan orang lain?
Cuba perhatikan bangsa lain, pandai menarik benang dari dalam tepung bila timbul masalah. Kita orang Melayu ni jadi apa? Tepung entah ke mana, benang entah ke mana. Itu yang saya dukacita sangat dalam masyarakat kita. Anak-anak kita (pelajar Melayu) hanya menang sorak saja, tapi kalau suruh berhujah? Kalau pandai hujah berbaloilah juga, hujahlah dengan sesiapa pun, tapi saya takut, hujah tidak pandai, sorak sahaja yang lebih.
Siapa pun boleh begitu, saya pun boleh laung sana sini. Tapi setakat itu sahajakah? Apa nilai kita, apa perjuangan kita yang sebenarnya sedangkan anak bangsa lain tekun belajar? Hakikatnya, pelajar Melayu tidak pernah belajar untuk menyedari hakikat ketidakcemerlangan mereka berbanding bangsa lain.
S: Apa sebenarnya yang lebih diutamakan oleh ibu bapa Melayu pada fikiran Datuk?
J: Berdasarkan pengalaman saya, ketika mempromosikan pembelajaran di salah sebuah kolej swasta di negara ini, anda tahu apa yang mereka mula-mula tanya?
Ada atau tidak pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau dana daripada agensi-agensi kerajaan lain.
Kata ibu bapa itu kepada saya, kalau setakat pinjaman bank, tak payahlah kerana mereka 'takut'. Kenapa takut? Kerana bimbangkan beberapa syarat yang dikenakan oleh pihak bank sehingga menyebabkan mereka berfikir dua tiga kali untuk mendaftar.
Ini kerana, kebanyakan mereka berat hati untuk membuat bayaran sebaik sahaja anak-anak memulakan pengajian sebagaimana syarat bank yang dikenakan.
Di dalam kotak pemikiran ibu bapa ini, infrastruktur dan kemudahan canggih yang disediakan soal kedua.
Kalau melalui pinjaman Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), lepas belajar atau bila sudah bekerja, baru bayar balik pinjaman. Kalau kita lihat, ada juga yang tidak membayar langsung walau sudah habis belajar.
Keadaan ini nyata berbeza dengan ibu bapa bukan bumiputera yang menyediakan insurans bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak kerana mungkin mereka menyedari - maaf saya cakap - peluang mereka mendapatkan bantuan tidaklah semudah yang kita (bumiputera) peroleh sekarang.
S: Apa puncanya perkara ini berlaku?
J: Orang kita memang sejak dulu diulit budaya selesa, segala-galanya 'begitu mudah' sehingga membuatkan mereka menganggap keadaan tidak mudah pun sebagai tetap mudah.
Jadi macam mana hendak mendapat ijazah kelas pertama? Bila berdepan dengan perkara-perkara susah sikit, terus tidak mahu buat, tahu hendak senang sahaja.
Orang putih dulu pun pernah tegur sikap Melayu yang sentiasa hendak senang.
Contohnya Stamford Raffles. Abdullah Munsyi sendiri pernah menegur. Cuba baca balik Hikayat Pelayaran Abdullah Munsyi yang telah beratus-ratus tahun dahulu sudah menyedari sikap Melayu yang diperhatikannya mudah leka dengan kesenangan. Tapi kita marah sehinggakan ada segelintir generasi kini yang melabelkan beliau sebagai penderhaka bangsa. Kenapa mesti marah?
Bumiputera lebih rela berhabis wang ringgit dan kudrat untuk perkara-perkara lain, contohnya untuk kenduri kahwin malah ada yang menganggapnya sebagai satu 'pertandingan' dengan orang lain.
Mereka tidak sayang untuk melabur lebih sebahagian daripada peruntukan menghantar anak belajar di dalam perkara-perkara seumpama itu. Sikap sebegini rupa sewajarnya sudah lama ditinggalkan.
S: Permasalahan ketidakcemerlangan akademik para pelajar Melayu kelihatannya tidak pernah kunjung padam. Ada berlaku kesilapan di mana-mana?
J: Saya lihat, pelbagai pihak hanya membuat perancangan demi perancangan bagi menangani permasalahan itu tetapi tanpa usaha berterusan dan menyifatkannya sebagai 'hangat-hangat tahi ayam'. Tiada sorotan atau kajian lanjut mengenainya. Pendek kata, kita kena 'selalu sibuk' dan bukannya sibuk pada masa-masa tertentu sahaja atau hanya ketika timbul isu.
S: Sebagai orang yang lama berkecimpung dalam bidang pendidikan, apa nasihat dan harapan Datuk terhadap generasi kini yang bakal mengisi alaf baru?
J: Saya tetap mempunyai keyakinan penuh bahawa prestasi akademik anak bangsa kita boleh dibaik pulih.
Saya beranggapan, ada ruang yang banyak untuk mereka menyedari serta memperbaiki kesilapan lalu. Kita boleh buat, bukannya tidak boleh. Tetapi soalnya sejauh mana kemahuan kita untuk menyelami dan menyedari isu ini.
Saya menyeru semua pihak, sama ada pendidik, ibu bapa atau para pelajar, dan masyarakat keseluruhannya, renungkanlah sejenak perkembangan yang menimpa anak-anak bangsa pada hari ini.
Oleh: SITI NOR SAFINAZ SHEIKH MAZNAN