Nik Aziz akui ubah suai doa RasulullahKOTA BHARU, Selasa - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui meniru dan mengubahsuai doa Nabi Muhammad ketika baginda ingin memasuki Makkah kepada meminta 'dibutakan' mata pengundi supaya hanya 'melihat' bulan (lambang Pas). Beliau berkata, doa itu ditujukan khusus kepada golongan 'pengundi hantu' di samping turut merangkumi penyokong Barisan Nasional (BN). Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau merujuk kepada doa Nabi Muhammad ketika baginda dan rombongannya dilanda kebimbangan diserang askar Makkah dalam perjalanan menuju ke Makkah. Nabi berdoa: "Wahai Tuhan, aku minta Kau butakan mata mereka (askar Makkah) sehingga tidak nampak kumpulan kami yang berpuluh ribu ini, kecuali dengan mengejut." "Saya tiru doa Nabi... saya ubah suai. Nabi sendiri minta Allah Taala butakan mata (askar Makkah) supaya mereka tak nampak dia (Nabi), kecuali terserempak. "Ertinya bukan buta seratus peratus (penglihatan), tetapi buta tak nampak dan tak dengar gerak geri askar (rombongan Nabi). Dalilnya Nabi minta buta, kecuali orang itu bertemu dengan beliau secara terserempak. "Buta di sini bukan penglihatan tapi pandangan dan fikiran supaya berita kedatangan Nabi dari Madinah ke Makkah tidak diketahui. Bila dah sampai Makkah baru (askar Makkah) nampak. "Jadi, doa tu memang saya modified (ubah suai). Kita tujukan kepada pengundi hantu dan kalau BN pun bagus juga," katanya ketika ditemui di JKR 10, di sini hari ini. Beliau diminta mengulas pengedaran salinan doa kepada orang ramai di Perlis yang memohon Allah membutakan mata rakyat supaya hanya melihat lambang Pas (bulan). Doa itu bagaimanapun didakwa diubah suai oleh pihak tertentu dan antara doa yang diedar secara berleluasa di Perlis berbunyi: "Wahai Tuhan kami, butakan mata mereka supaya tidak nampak apa-apa kecuali bulan (lambang Pas)." Turut diedarkan ialah salinan doa: "Ya Allah, turunkanlah bala dengan menghantar serigalaMu supaya membaham pemimpin Umno." Nik Aziz pertama kali membaca doa itu selepas menyampaikan ceramah berhubung isu 'mencarut dibolehkan dalam agama Islam' pada majlis Ceramah Perdana di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di sini, pada 1 Mei lalu. Turut hadir pada majlis itu Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Antara lain sebelum mengakhiri ceramahnya, Nik Aziz berdoa: "Wahai Tuhan tolong butakan mata mereka supaya mereka tidak nampak apa-apa pun, kecuali bulan." "Kita doa sungguh-sungguh. Start (bermula) daripada malam ni, sampai bila-bila masa pun. Tengah sembahyang, luar sembahyang. Baca doa itu dengan ikhlas sehingga menitiskan air mata."
|