Mukadimah
PENDERAAN bukan satu isu baru yang melanda masyarakat negara ini. Sejak dahulu lagi, penderaan sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi dan seksual lebih banyak berkisar kepada isu di kalangan kanak-kanak atau isteri yang didera suami. Penderaan seolah-olah menggambarkan bahawa mereka yang berkuasa boleh bertindak melakukan apa saja terhadap golongan yang lemah. Lebih meruntun hati, trauma yang dialami pasti kekal sepanjang hayat mereka yang menjadi mangsa kerakusan manusia. Justeru, pendedahan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang berasal dari Pontianak, Nurjanah Matyak, 40, baru-baru ini yang didera oleh majikannya hingga meninggalkan trauma yang cukup dalam kepadanya pasti menggemparkan masyarakat negara ini. Masakan tidak, dia mendakwa sering dirotan di kepala, muka, gusi, dipukul hingga mengakibatkan kecederaan yang parah, penglihatan kabur dan tidak boleh menelan makanan yang keras. Nasib malang ini turut dialami oleh Manisah Kunijan, 32, yang dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan setelah didera dengan teruk oleh majikannya dengan seketul batu sebesar dua genggaman tangan. Siasatan mendapati, terdapat banyak parut di dahi, kepala, parut luka, kesan rekahan akibat direndam dengan air panas juga ditemui. Namun, kes penderaan pembantu rumah ini tidak tamat begitu saja, sebaliknya terus terbongkar satu persatu. Eni Windhia, 17, yang didera dengan teruk oleh teman wanita majikannya sejak hari pertama dia bekerja berkemungkinan menghadapi risiko hilang penglihatan akibat dipukul dengan benda keras. Begitu juga bagi Riyanti Sekhiri, 25, yang mendakwa sering dipukul hingga cedera di muka, pipi, leher serta belakang tubuhnya. Nasib yang sama turut dialami oleh seorang pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai Misiah, 31, yang mendakwa sering dipujuk majikannya yang berusia 86 tahun melakukan hubungan seks. Rentetan satu persatu kes-kes penderaan oleh majikan terhadap pembantu rumah ini seolah-olah menggambarkan bahawa masyarakat Malaysia yang selama ini digembar-gemburkan sebagai masyarakat penyayang dan prihatin ibarat indah khabar dari rupa. Menyoroti isu penderaan pembantu rumah ini, wartawan Mingguan Malaysia Najibah Hassan telah menemu ramah Pakar Psikiatri, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Osman Che Bakar untuk mengupas apakah punca sebenar yang mendorong majikan mendera pembantu rumah mereka. |
Mingguan: Selama ini masyarakat Malaysia sering digambarkan sebagai masyarakat yang penyayang dan cukup prihatin, namun senario mendera pembantu rumah seperti yang dilaporkan sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita. Apa pandangan Dr. dalam hal ini?
DR. OSMAN: Saya setuju bahawa nilai-nilai penyayang dan prihatin di kalangan masyarakat Malaysia sememangnya wujud dan kekal hingga ke hari ini.
Pada masa yang sama, kita seharusnya tidak boleh melabelkan hanya kerana tindakan segelintir pihak, maka semuanya terpalit. Bahkan, isu penderaan ini bukanlah sesuatu yang baru dan ia sememangnya wujud sejak dahulu lagi. Ia dapat diketahui apabila terdapat laporan mengenainya.
Laporan ini juga bergantung kepada pihak yang membuat laporan.
Sesetengahnya ada kesempatan untuk berbuat demikian dan begitu juga sebaliknya. Keadaan ini juga ada hubung kaitnya dengan keadaan ekonomi negara yang semakin stabil. Dengan kestabilan ekonomi ini, ramai suri rumah mula bekerja, sekali gus keperluan kepada khidmat pembantu rumah juga meningkat. Secara tidak langsung, ia juga boleh dikatakan sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan kejadian penderaan terhadap pembantu rumah.
Jika dilihat kepada individu yang melakukan perbuatan mendera ini, hampir kesemuanya terdiri daripada wanita yang berpendidikan dan golongan profesional. Apakah wajar jika kita menyifatkan kedudukan mereka ini menyebabkan mereka menjadi terlalu angkuh, sombong dan tinggi diri hingga menyebabkan mereka sanggup menzalimi pembantu rumah?
DR. OSMAN: Kenyataan seperti ini kurang tepat dan tidak wajar melabelkan mereka yang berkedudukan mempunyai sikap sedemikian.
Memang benar, mereka yang terlibat terdiri daripada golongan ini kerana mereka adalah golongan berpendapatan tinggi.
Kita perlu memahami dalam kes penderaan pembantu rumah ini, kerana ia berlaku antara dua pihak sebagai contoh antara A-sebagai majikan dengan B- pembantu rumah.
Sebagai majikan tentunya mereka mempunyai `internal standard' iaitu apa
yang harus dan tidak harus dilakukan oleh seorang pembantu rumah. Manakala B, sebagai pembantu rumah pula harus tahu menunaikan amanah atau jangkaan seperti yang dikehendaki oleh majikannya.
Sekiranya B-gagal memenuhi seperti apa yang dikehendaki oleh majikan, keadaan ini boleh menimbulkan tekanan atau rasa tidak puas hati majikannya. Terdapat kemungkinan majikannya menghadapi pelbagai tekanan atau mungkin dia mempunyai gangguan psikiatri (jiwa) di mana dia tidak boleh mengawal emosi dan impulsnya.
Jika keadaan ini ditambah pula dengan kelemahan yang terdapat pada pembantu rumah seperti gagal melaksanakan tugas dengan baik, masalah komunikasi dan sebagainya ia boleh merangsang majikannya menjadi bertambah marah.
Bagaimanapun, secara rasionalnya majikan tidak boleh menggunakan alasan ini untuk mendera pembantu rumahnya.
Mungkin senario mendera pembantu rumah ini bukan satu perkara baru dan wujud sejak zaman jahiliah lagi?
DR. OSMAN: Benar. Cuma caranya mereka mungkin berbeza seiring dengan perubahan zaman dan perubahan tekanan yang dialami.
Bolehkah Dr. definisikan penderaan dalam erti kata sebenarnya - adakah ia merangkumi penderaan fizikal, mental emosi dan pengabaian?
DR. OSMAN: Penderaan diertikan sebagai sesuatu tindakan yang boleh mengganggu atau mencederakan seseorang baik dari segi psikologi atau fizikal, termasuklah seksual, tidak diberi makanan dan sebagainya.
Jika diteliti kes-kes penderaan pembantu rumah ini, punca mereka didera agak remeh seperti buah limau, tertumpah air, terlupa menutup air dan sebagainya. Boleh Dr. jelaskan?
DR. OSMAN: Punca seperti ini masih boleh dipertikaikan ia mungkin sekadar alasan saja.
Biasanya, sekalipun alasan yang diberi itu agak remeh, kerana keadaan ini ibarat 'retak menanti belah'. Mereka sebenarnya mungkin telah lama memendam rasa atau marah kerana kesilapan lalu atau dalam keadaan tertekan (stress) disebabkan permasalahan lain, lalu melepaskannya kepada pembantu.
Adakah tekanan yang keterlaluan menyebabkan seseorang boleh bertindak melakukan sesuatu di luar kebiasaan?
DR. OSMAN: Banyak atau sikitnya tekanan yang dihadapi bergantung kepada kemampuan individu terbabit berdepan dengan tekanan tersebut. Ada orang yang dapat menangani tekanan yang keterlaluan dan ada yang tidak dapat menangani tekanan yang sedikit.
Benarkah dakwaan bahawa mereka yang mendera ini menghadapi masalah jiwa hingga mereka terdorong bertindak demikian atau adakah mereka ini mengalami krisis dalaman pernah didera semasa kecil?
DR. OSMAN: Mengenai pendera ini, terdapat dua golongan, iaitu kumpulan pertama mereka yang normal tetapi menghadapi tekanan dan kumpulan kedua mereka yang ada gangguan psikiatri.
Benar. Kajian di Barat menunjukkan ramai di kalangan yang mempunyai tabiat mendera ini pernah didera semasa kecil oleh individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan sama ada ibu bapa, kakak, abang, ibu saudara atau sebagainya.
Sejauh manakah benarnya tekanan yang mereka hadapi menyebabkan mereka bertindak sehingga mendera orang lain? Apakah masalah rumah tangga, peribadi, tekanan di tempat kerja antara faktor penyumbang seseorang mendera orang lain?
DR. OSMAN: Kemampuan untuk menangani tekanan adalah sesuatu yang relatif kerana terdapat sesetengah individu boleh menanganinya dengan baik dan sebaliknya.
Memang benar, masalah anak-anak, rumah tangga, tekanan di tempat kerja, hubungan suami isteri, kewangan dan sebagainya antara faktor yang menyebabkan seseorang mengalami tekanan.
Tidak dinafikan, adakalanya terdapat sesetengah individu melepaskan tekanan mereka kepada golongan yang lemah.
Bagaimana dengan cemburu? Adakah ia merupakan salah satu faktor pembantu rumah didera, meskipun dalam hampir kebanyakan laporan akhbar tidak menyatakan bahawa pembantu rumah mempunyai hubungan intim dengan suami mereka?
DR. OSMAN: Ada kemungkinan jika pembantu rumah ini memiliki wajah dan tingkah laku yang menarik, ditambah pula jika suami isteri menghadapi masalah rumah tangga dan sebagainya.
Bolehkah dikatakan bahawa senario mendera pembantu rumah ini merupakan sejenis penyakit masyarakat bandar?
DR. OSMAN: Jika dilihat, memanglah masyarakat bandar banyak memerlukan khidmat pembantu rumah kerana kebanyakan pasangan suami isteri bekerja.
Tambahan pula masyarakat bandar lebih berkemampuan. Pada masa yang sama, kehidupan di bandar penuh dengan cabaran dan saingan yang menyebabkan mereka terdedah dengan tekanan.
Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 1996 mendapati wanita merupakan kumpulan yang berisiko tinggi menghadapi gangguan mental yang serius dengan peratus sebanyak 1.5 kali ganda berbanding lelaki. Apa komen Dr.?
DR. OSMAN: Ia bergantung kepada permasalahan psikiatri tertentu seperti wanita mengalami banyak proses perubahan neurosis yang boleh mengganggu emosinya seperti perubahan hormon dalam tubuh iaitu pusingan haid, mengandung dan melahirkan anak.
Mereka biasanya agak dependant terhadap suami atau orang lain dan suka memendam perasaan. Dengan itu mereka lebih mudah resah atau murung. Sebaliknya, kaum lelaki lebih terbuka dan kadangkala memanifestasikan masalah tersebut dengan tingkah laku seperti penyalahgunaan dadah, alkohol atau berjudi.
Benarkah tekanan perasaan dan mental menjadi punca kes-kes penderaan di negara ini dan adakah ia dipengaruhi oleh faktor genetik, persekitaran, biologi dan psikologi?
DR. OSMAN: Benar, tekanan yang tidak dapat ditangani dengan baik menyebabkan seseorang terdorong bertindak mendera orang lain. Namun, ia juga bergantung kepada keempat-empat faktor ini kerana kesemua berperanan penting dalam mempengaruhi dan mencorakkan personaliti seseorang itu.
Benarkah seseorang pendera mempunyai sifat panas baran atau tidak boleh mengawal emosi dengan baik? Adakah mereka sedar dengan tindakan yang dilakukan?
DR. OSMAN: Pendera biasanya seorang yang terlalu sensitif, mudah tersinggung dan kurang kawalan terhadap emosi dan tidak dapat mengawal impuls (poor impulse control).
Individu yang antisosial atau personaliti yang normal juga boleh terdorong untuk mendera. Begitu juga dengan individu yang obsesif, jika pembantu melakukan sesuatu di luar standard yang dikehendaki mereka terdorong untuk marah, tetapi mungkin tidak mendera.
Biasanya pendera sedar apa yang mereka lakukan, masalahnya mereka tidak mampu mengawal emosi kemarahan.
Apakah tanda-tanda seseorang menghadapi tekanan?
DR. OSMAN: Personaliti dan diri mereka biasanya tidak terurus, dalam tertekan, tidak dapat memberi tumpuan, resah, pelupa, ada gangguan pemikiran (kognitif), selalu menunjukkan tanda-tanda kemurungan, sedih, kurang selera makan, tidak boleh tidur dan prestasi kerja mereka terganggu atau menurun.
Penampilan mereka juga agak kurang kemas, mereka kelihatan tidak selesa, resah dan nampak tertekan.
Adakah kaedah atau terapi yang dapat membantu mereka mengawal emosi atau tekanan yang dihidapi?
DR. OSMAN: Jika seseorang pendera itu mempunyai penyakit psikiatri, dia perlu dapatkan bantuan. Jika individu terbabit seorang yang normal, tetapi menghadapi banyak tekanan, mereka perlu dibantu untuk menangani tekanan tersebut secara positif dan berkesan.
Lebih penting lagi, kita harus belajar bagaimana untuk mengawal perasaan. Sebagai majikan, kita harus rendahkan expectation atau standard yang diletakkan terhadap pembantu rumah. Apa yang penting, majikan harus sedar bahawa mereka tidak boleh menyamakan cara seorang yang berpendidikan berfikir dengan cara mereka yang kurang tahap pendidikannya.
Pembantu rumah kebanyakannya mempunyai 'standard' yang rendah dalam banyak perkara seperti kebersihan, ketelitian atau kepentingan sesuatu hal.
Secara rasionalnya, jika mereka pintar untuk apa mereka perlu bersusah payah datang ke sini mempertaruhkan nyawa, sanggup meninggalkan keluarga tercinta semata-mata untuk mencari rezeki. Sebagai individu kita dapat menilai emosi sendiri sama ada kita dalam keadaan tertekan atau tidak. Individu perlu tahu menangani perasaan marah. Jika terlalu marah sekalipun, belajarlah untuk tangani kemarahan tersebut dengan cara yang positif.
Ini termasuklah menyuruh pembantu rumah meninggalkan anda buat seketika. Bagi pembantu rumah pula, mereka seharusnya tahu dan memahami tabiat majikannya.
Secara kasarnya, sesuatu tekanan itu boleh ditangani dengan pengurusan masa dan diri yang baik, proses penyelesaian masalah, menilai keutamaan, beristirahat dan berekreasi yang cukup, berkongsi masalah dan lain-lain.
Apakah kesan trauma yang dihadapi oleh pembantu rumah yang didera ini?
DR. OSMAN: Dari segi fizikalnya, mereka mungkin mengalami kecederaan, bengkak, lebam, kecacatan, buta dan sebagainya. Jika mereka diabaikan, tidak diberi makanan yang cukup misalnya boleh menjejaskan pertumbuhan dan perubahan dari aspek fizikal.
Ini boleh mempengaruhi kerja, prestasi dan kognitif mereka. Secara psikologinya, mereka biasanya mengalami gangguan emosi, rasa tidak selamat, rasa terhina, hilang harga diri dan akhirnya menyebabkan mereka juga menghidap penyakit jiwa atau gangguan personaliti. Ini memburukkan lagi prestasi mereka (vicious cycle).
Bagi kes yang serius, sesetengahnya sanggup membunuh diri atau melarikan diri dari majikan kerana tidak tahan menanggung penderitaan. Seperkara lagi ialah apabila kerap dimarahi, pembantu-pembantu ini akan bekerja dalam keadaan takut dan tertekan, ini akan menyebabkan mereka lebih mudah melakukan kesilapan.
Apa cadangan Dr. dalam membantu mengurangkan kes-kes penderaan ini?
DR. OSMAN: Pihak yang bertanggungjawab seperti agensi-agensi yang dilantik menguruskan pekerja asing bekerja di negara ini, sebaik-baiknya menggariskan beberapa kriteria terhadap pembantu terutama pada aspek pendidikan.
Pada masa yang sama, sebelum berkhidmat dengan majikan, mereka perlu diberi pendedahan dalam bentuk kursus jangka pendek.
Kursus ini yang merangkumi gaya hidup dan budaya masyarakat di negara ini dan lebih penting lagi aspek komunikasi sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran tentang budaya sesuatu masyarakat sebenar kepada mereka.
Seperti yang kita bincangkan, selain masalah remeh boleh mencetuskan penderaan, permasalahan komunikasi juga boleh mencetuskan salah faham antara majikan dan pembantu rumah dan akhirnya penderaan.
Jadi, perkara seperti ini perlu diambil kira.