|
|
|
|
|
ULASAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA 1999 BAGI AMPANG JAYA ( ARTIKEL INI ADALAH PENDAPAT PENULIS DAN BUKANNYA PENDAPAT RASMI PAS KAWASAN )
Pencapaian PAS dan parti-parti Barisan Alternatif ( BA ) lain di Ampang Jaya pada pilihanraya umum 1999 adalah yang terbaik di dalam sejarah.
Walaupun gagal untuk merampas mana-mana kerusi dari Barisan Nasional ( BN ) namun majoriti calon-calon BN telah dapat dikurangkan dengan begitu drastik.
Pencapaian yang terbaik adalah bagi PAS di N.21 Lembah Jaya di mana majoriti BN telah dikurangkan sebanyak 11,310 di samping undi PAS telah bertambah lebih tiga kali ganda berbanding dengan tahun 1995.
Rata-rata kita dapat melihat bagaimana orang Melayu telah menolak BN dengan memberi sokongan kepada BA tanpa mengira siapakah calon BA.
Malah di kawasan-kawasan Melayu seperti Enggang Utara, Enggang Selatan dan Kg. Melayu, undi yang diperolehi oleh calon-calon bukan Melayu BA adalah tinggi dan di luar jangkaan.
Di antara sebab-sebab utama adalah kebencian orang Melayu terhadap UMNO dan pengaruh PAS yang sudah lama wujud di kawasan-kawasan itu. Ditambah pula di atas semangat kerjasama BA jentera pilihanraya PAS tetap bergerak walaupun PAS tidak meletakkan calon. Malah jentera PAS di kawasan-kawasan terlibat adalah lebih cergas dari jentera parti BA yang bertanding di situ.
Pengundi-pengundi Cina pula akibat dari serangan yang bertubi-tubi oleh media-media BN telah memberi sokongan kepada BN. Sepertimana trend di seluruh negara, pengundi-pengundi Cina yang saban-hari digertak dan ditakut-takutkan itu kurang memberi sokongan kepada BA.
Hanya DAP yang bertanding di N.19 Ampang mendapat undi yang agak tinggi dari pengundi-pengundi Cina. Mungkin itulah sebabnya majoriti kemenangan calon BN di N.19 Ampang adalah yang terendah di Ampang Jaya. Selain dari sokongan dari kaum Cina, di atas usaha-usaha PAS maka DAP juga mendapat sokongan dari pengundi-pengundi Melayu.
Tetapi agak malang kerana DAP tidak mempunyai tenagakerja dan kepakaran untuk mempengaruhi pengundi-pengundi Cina di N.20 Pandan dan N.21 Lembah Jaya untuk menyokong KeADILan dan PAS. Cawangan DAP yang pertama di Ampang Jaya hanya ditubuhkan 4 bulan sebelum pilihanraya.
Di kerusi Parlimen P92 Ampang Jaya, calon bukan Islam Parti Rakyat Malaysia ( PRM ) yang menggunakan lambang KeADILan telah tidak dapat menarik undi bukan Melayu. Undi yang diperolehi oleh beliau adalah semata-mata di atas sokongan orang Melayu kepada BA dan juga di atas usaha PAS yang telah sejak 1995 lagi memulakan gerakerja untuk menawan kerusi Parlimen itu tetapi di saat-saat terakhir terpaksa melepaskan kerusi tersebut. PRM bernasib-baik kerana segala kerja-kerja akar umbi telah dilakukan oleh PAS sejak lebih 12 tahun yang lalu. PRM di Ampang Jaya telah ditubuhkan 2 bulan sebelum pilihanraya.
Bagi keseluruhannya, jentera pilihanraya PAS adalah begitu mantap. Selain dari menumpukan tenaga kepada N.21 Lembah Jaya ianya juga berupaya membantu KeADILan, PRM dan DAP. PAS telah membuka bilik-bilik gerakan di ketiga-tiga DUN walaupun hanya bertanding di satu. Polling & Counting Agent PAS pula bertugas untuk rakan-rakan BA yang lain.
KeADILan pula walaupun baru ditubuhkan dan terpaksa melalui beberapa "teething problem" tetapi akhirnya dapat juga menyaingi jentera BN.Dengan bantuan tenaga dan infrastruktur dari PAS, DAP dan PRM pula tidaklah berjaya diratah oleh jentera pilihanraya BN.
Pengajaran dari pilihanraya yang lepas menunjukkan bahawa bertapa perlunya jentera dan rangkaian di peringkat akar umbi. Di pilihanraya umum yang akan datang kita yakin BN telahpun selesai mengkaji segala kelemahan-kelemahannya. Ketika itu hanyalah parti-parti yang mempunyai jentera yang lengkap akan dapat menumbangkan BN di Ampang Jaya. Dan persiapan pilihanraya memerlukan jangkamasa yang panjang dan kesabaran.
Selain dari itu kita juga yakin dengan contoh yang baik yang akan ditunjukkan oleh Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu, kaum Cina akan dapat memberi sokongan kepada PAS dan parti-parti BA yang lain.
MJZD Ampang Jaya.
"Click Untuk Kembali Ke Senarai Kandungan"
|
|
|
|
|