Laman Web PAS Kawasan Ampang Jaya

PERISTIWA DI SAUK HAMPIR BERLAKU DI BUKIT TEMBUSU !


Apa yang belaku di Bukit Tembusu di antara 24 dan 29 Jun yang baru lalu tidaklah sebegitu "dramatic" seperti peristiwa di Gerik dan Sauk beberapa hari selepas itu. Namun setelah berlakunya peristiwa rampasan senjata dan penahanan ahli-ahli Ma'unah itu terdapat yang berpendapat peristiwa di Bukit Tembusu itu telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk berakhir dengan satu tragedi berdarah.

Terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan ke arah satu konspirasi supaya bukan sahaja penduduk kampung tersebut tidak mendapat sebarang pampasan tetapi berlaku satu pertembungan di antara pihak keselamatan dan penduduk kampung.

Pihak tersebut amatlah mengharapkan agar peristiwa itu jika berlaku akan digunakan untuk memburuk-burukkkan PAS bukan sahaja di Ampang Jaya tetapi di peringkat kebangsaan. Mereka akan berkata bertapa ganasnya PAS dan menakut-nakutkan rakyat tertutamanya orang-orang bukan Islam bahawa ahli-ahli PAS adalah pencetus huru-hara.

Jika difikir-fikirkan teori ini mungkin boleh diterima akal kerana ketika itu tidak terdapat sebarang isu besar untuk  dikaitkan dengan PAS dan pilihanraya-pilihanraya kecil Sanggang serta Teluk Kemang menunjukkan undi-undi orang Melayu masih tetap bersama Barisan Alternatif. Tambah mencemaskan pula di Teluk Kemang undi-undi orang bukan Islam dan anggota-anggota keselamatan telah mula berpihak kepada Barisan Alternatif.

Peristiwa di Bukit Tembusu bermula pada pagi Sabtu 24 Jun apabila pekerja-pekerja pihak pemaju cuba untuk merobohkan rumah-rumah di kampung tersebut. Apabila mereka dihalang oleh penduduk kampung maka lebih dari 200 orang anggota Polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan ( FRU ) telah mengepung kampung itu.

Di dalam keadaan di mana jumlah pampasan yang patut dibayar kepada penduduk belum lagi diputuskan dan kes mereka akan disebut di Mahkamah pada 7 Julai yang akan datang maka sudah tentulah orang-orang kampung merasakan diri mereka telah ditipu. Tambahan pula notis untuk dirobohkan rumah-rumah mereka telah disampaikan oleh Balif Mahkamah pada hari Sabtu dan dengan itu tidak memberikan mereka secukup-masa untuk mendapat sebarang perintah mengenepikan perintah meroboh.

Maka sudah tentulah keadaan menjadi tegang ! Penduduk yang merasakan diri mereka telah dimainkan itu sudah tentu akan bertindak dengan apa cara sekalipun untuk mempertahankan hak mereka. Dan ini sudah sememangnya menjadi naluri manusia. Malah seorang pegawai Polis meyatakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa penduduk tidak ditawarkan sebarang pampasan untuk berpindah. Beliau menyangka orang-orang kampung berdegil untuk bertahan walaupun telah ditawarkan pampasan. Rupa-rupanya mereka tidak ditawarkan walaupun satu sen ketika itu.

Kenapakah pihak Polis tidak diberitahu akan perkara yang sebenarnya ? Adakah pihak Polis akan turun sekiranya diketahui perbincangan masih belum selesai ? Siapa yang telah menekan pemaju supaya bertindak sebelum persetujuan dengan penduduk telah dicapai ? Dengan itu seolah-olah telah dirancang agar ketegangan berlaku dan satu pertembungan yang mungkin berdarah menyusul.

Tetapi Alhamdulillah "huru-hara" yang dirancang oleh orang-orang yang tidak ketahui itu telah tidak menjadi realiti. Rundingan di antara wakil-wakil PAS Kawasan Ampang Jaya dan pihak Polis telah menenangkan suasana yang meruncing dan akhirnya semua pihak bersetuju agar perpindahan penduduk ditangguhkan sehingga 29 Jun untuk memberikan masa bagi sebarang perbincangan.

Tetapi di sepanjang tempoh perbincangan tersebut terdapat pelbagai provokasi. Walaupun penduduk berterima-kasih di atas sokongan dari mereka yang datang ke Bukit Tembusu dari seluruh Lembah Kelang namun terdapat di antara mereka yang tidak dikenali dari luar Ampang Jaya yang mengapi-apikan suasana. Mereka ini telah datang untuk membakar semangat penduduk supaya tidak menerima sebarang pampasan tetapi bertahan kononnya untuk "syahid". Malah di saat-saat akhir perbincangan terdapat di antara mereka yang nampaknya bersungguh-sungguh berusaha agar perbincangan dengan pemaju gagal.

Siapakah mereka ini ? Siapa yang telah menghantar mereka untuk mewujudkan ketegangan ? Sudah tentunya pihak yang menghantar mereka untuk melakukan provokasi mahukan penduduk bertempur dengan pihak Polis pada pagi 29 Jun itu.

Sekali lagi kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Pak Hassan, Sdra. Sharifuddin, Sdra. Masridzi, Sdra Yeop dan rakan-rakan lain dari Kg. Cheras Baru telah bertindak dengan waras dan bijaksana. Tragedi berdarah yang dirancang telah tidak menjadi kenyataan. Kalau tidak sudah tentulah mereka akan didakwa sebagai pengganas dan pembawa ajaran sesat !

Oleh :
Bakhtiar Effendi

( Pendapat penulis bukan pendapat rasmi PAS Kawasan Ampang Jaya )


Click Untuk Ke Menu Utama