|
|
|
|
|
Laman Web PAS Kawasan Ampang Jaya
MPAJ SAMAKAN KASET NIK AZIZ DENGAN VIDEO LUCAH.
Majlis Perrbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) melalui Setiausahanya, Haji Adailami Mohd. Amin telah memberitahu bahawa MPAJ menganggap penerbitan-penerbitan, kaset-kaset dan CD-CD Barisan Alternatif adalah setaraf dengan bahan-bahan lucah ( pornographic ) dan akan dirampas sekiranya dijual secara terbuka di Ampang Jaya.
Perkara ini diberitahu oleh beliau ketika bertemu dengan wakil-wakil PAS Kawasan Ampang Jaya pada 15 Mei 2001 yang lepas. Pertemuan itu diadakan bersama Yang Di Pertua PAS Kawasan Ampang Jaya, Haji Sarom Haji Jais dan Setiausaha PAS Kawasan Ampang Jaya, Encik Abdul Jalil Hassan di Menara MPAJ, Pandan Indah. Ianya diadakan setelah pegawai-pegawai penguatkuasa MPAJ mengugut untuk merampas penerbitan-penerbitan, kaset-kaset dan CD-CD Barisan Alternatif di sebuah pasar malam di Ampang Jaya.
Menurut Haji Adailami, MPAJ telah membuat keputusan di salah satu mesyuaratnya bahawa bahan-bahan yang mengancam ketenteraman awam seperti bahan-bahan lucah tidak boleh dijual di tempat-tempat awam di Ampang Jaya. Dan bahan-bahan Barisan Alternatif itu dianggap sebagai bahan-bahan yang mengancam ketenteraman awam.
Dengan itu ini bermakna pada pandangan MPAJ kaset kuliyyah ugama tokoh-tokoh ulama' PAS seperti YAB Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah sama seperti CD-CD lucah.
Menurut Encik Abdul Jalil pihaknya sedang merujuk kepada peguam mereka untuk menentukan sama ada MPAJ berhak membuat peraturan sedemikian. Beliau juga memberitahu bahawa perkara ini akan disampaikan kepada Ketua Pembangkang DUN Selangor, YB Dato' Dr. Hassan Ali untuk dibahaskan di peringkat DUN. Dan beliau juga berpandangan MPAJ tidak akan bertindak sedemikian tanpa tekanan Barisan Nasional di Ampang Jaya terutamaya ADUN-ADUNnya yang merupakan ahli-ahli majlis MPAJ.
Orang-ramai di sekitar Ampang Jaya yang ditemui telah menyatakan rasa kesal di atas pendirian MPAJ ini. Menurut mereka pada hakikatnya CD-CD lucah boleh didapati dengan mudah di beberapa pasar-pasar malam di Ampang Jaya seperti di Taman Seri Watan dan tidak ada sebarang tindakan ke atas peniaga-peniaga yang terlibat. Ianya juga dijual dengan bebas di kaki lima Pasaraya Bintang di Pekan Ampang dan Pasaraya Spectrum Bandar Baru Ampang tanpa sebarang tindakan oleh MPAJ. Oleh itu apakah rasionalnya ugutan MPAJ untuk merampas kaset-kaset kuliyyah seperti Panduan Qiyamulail atau Panduan Solat-Solat Sunat oleh YB Dato' Ismail Kamus ?
Ramai yang berpendapat adalah lebih baik jika MPAJ menumpukan usaha-usaha untuk menampung jalan-jalan berlubang, memastikan longkang-longkang tidak tersumbat, memastikan sampah-sampah diangkat menurut jadual atau menembak gagak dari merampas majalah atau CD Barisan Alternatif.
Pemantau 18 Mei 2001
( Hakcipta penulis bukan pendapat resmi PAS Kawasan Ampang Jaya )
Click Untuk Kembali Ke Menu
|
|
|
|
|