Fakta Malaysia...

Kembali ke laman utama

 

POLITIK

Pilihan Raya Umum Pertama:
Pilihan raya umum persekutuan pertama diadakan pada 27 Julai 1955. Pilihan raya itu ditandingi oleh Perikatan (gabungan UMNO, MCA dan MIC), Pas, Parti Buruh, Parti Negara dan Parti Progresif Perak. Perikatan menyapu bersih pilihan raya itu dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi. Satu lagi kerusi dimenangi oleh Pas.

Perdana Menteri Pertama:
Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia pada tahun 1957 ketika berusia 54 tahun. Dia meletakkan jawatan pada 22 September 1970.

Sidang Parlimen Pertama:
Sidang Parlimen pertama diadakan pada 12 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pada persidangan itu, Datuk Muhammad Omar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Datuk Abdul Rahman Mohd. Yassin sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Mesyuarat Kabinet Pertama:
Mesyuarat Kabinet pertama selepas kemerdekaan diadakan pada 23 Mac 1959 dan dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Termuda:
Datuk Lee Lam Thye memegang rekod sebagai ahli Parlimen paling muda dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Dia baru berumur 22 tahun apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Bintang pada tahun 1969. Bagaimanapun, kerana perbalahannya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Lee Lam Thye bersara daripada politik pada tahun 1990.

Ahli Parlimen Paling Lama:
Mendiang Tan Sri Chan Siang Sun adalah Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di sebuah kawasan Parlimen. Dia pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1959 di Bentong, Pahang dan memenangi pilihan raya kawasan itu selama 7 penggal berturut-turut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tertua:
Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd. Hashim dari Perlis ialah Menteri Besar tertua yang memegang jawatan itu di Malaysia. Menjadi Menteri Besar pada usia 75 tahun.

Menteri Termuda:
Datuk Seri Najib Tun Razak ialah menteri paling muda di negara ini iaitu dilantik pada usia 24 tahun. Dia memenangi pilihan raya kecil Parlimen Pekan pada tahun 1976 tanpa bertanding selepas kematian bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Menteri Wanita Pertama:
Tan Sri Fatimah Hashim ialah menteri wanita pertama apabila dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat pada bulan Mei 1969. Dia ialah Ketua Wanita UMNO.

Perdana Menteri Paling Singkat:
Tun Abdul Razak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan September 1970 tetapi meninggal dunia pada bulan Januari 1976 ketika dia dirawat di London. Tun Razak menjadi Perdana Menteri kurang daripada enam tahun.

Parti Politik Terbesar:
UMNO ialah parti politik terbesar dengan jumlah keahlian seramai 2.7 juta orang. Ditubuhkan pada 11 May 1946 oleh Datuk Onn Jaafar, UMNO mengetuai Barisan Nasional (BN), komponen parti politik yang memerintah Malaysia sejak 1957.

Kembali ke laman utama

 

BIDANG-BIDANG LAIN

Profesor Termuda:
Profesor termuda ialah Dr. Othman Yong dari Terengganu. Dia bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Profesor Pentadbiran Perniagaan. Dilantik sebagai profesor pada 1 Julai 1994 pada usia 32 tahun.

Hakim Wanita Pertama:
Datuk Siti Norma Yaakob yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 17 September 1994.

Peguam Buta Pertama:
Peguam buta pertama ialah Mah Hassan Omar. Dia memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Malaya pada tahun 1986.

Hakim Termuda:
Hakim termuda ialah Sultan Azlan Shah dari Perak. Baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Julai 1965 pada usia 37 tahun. Baginda sekarang adalah Sultan Perak.

Warden Penjara Paling Lama:
Tan Sri Murad Ahmad menjadi warden penjara dari tahun 1945 sehingga persaraannya pada 24 Julai 1976. Jawatan terakhirnya ialah Ketua Pengarah Penjara.

Penjara Paling Tua:
Penjara paling tua ialah Penjara Pulau Pinang. Terletak di Jalan Gaol, penjara ini dibina pada tahun 1849 untuk mengurung penjenayah-penjenayah yang menjalani hukuman penjara singkat.

Penjara Terbesar:
Penjara terbesar ialah Penjara Kajang. Ia terletak di atas kawasan seluas 256.3 hektar. Pada satu-satu masa, penjara ini boleh menempatkan 4,300 banduan lelaki dan 490 banduan wanita.

Kembali ke laman utama